Pengenalan

Bahagian 7 Modul ini menyediakan cara mudah tetapi penuh teliti bagi urusniaga usahawan mikro makanan dan minuman menguruskan akaun perniagaan masing-masing untuk lebih berdaya tahan dan berbudi daya!

Objektif
  • Menguruskan pangkalan data dan rekod jualan urusniaga.
  • Menyediakan jejak aliran tunai bulanan dan imbangan duga dalam urusniaga.
  • Menentukan untung-rugi sebagai penyediaan dokumen kunci kira-kira tahunan.
Pangkalan Data dan Rekod Jualan Urusniaga

Sesuai dengan skala usahawan mikro dalam bidang makanan dan minuman, berikut ialah jenis data yang perlu diwujudkan:

  1. Pangkalan Data Menu ~ Data menu adalah tunjang kepada perniagaan makanan dan minuman yang dijalankan. Penyenaraian menu penting bagi memastikan titik kekuatan perniagaan, memudahkan operasi harian, dan membantu dalam membuat keputusan tentang jualan yang disasarkan.
  2. Pangkalan Data Aset Kelengkapan Niaga ~ Data aset kelengkapan niaga melancarkan dari segi kawalan aset supaya berupaya merancang belanjawan pembaikan dan penyelengaraan, bersedia dengan modal untuk kegunaan aset, mengetahui jumlah aset perniagaan, memudahkan urusan memohon bantuan kewangan dan menilai kos sebenar operasi.
  3. Pangkalan Data Inventori (Bahan Mentah dan Pakai Buang) ~ Bahan mentah adalah nadi kepada jualan dan unit yang terjual. Data ini penting untuk merancang dan menjejaki bilangan bahan mentah, harga semasa, mengelakkan pembaziran modal, menentukan perubahan menu dan pantau kos margin untung dengan tepat.
  4. Pangkalan Data Pekerja ~ Data ini penting walaupun skala mikro berdasarkan penemuan kajian adalah sekitar 1-3 orang. Data pekerja mengukuhkan lagi kekemasan dan ketelitian dalam urusniaga khasnya dari segi gaji dan upah. Selain itu, ia membantu usahawan mikro untuk menentukan kadar upah yang sesuai dengan prestasi pekerja dan unit daripada menu yang terjual.
  5. Pangkalan Data Aset ~ Data aset dan aset kelengkapan niaga perlu digabungkan sekali tetapi pangkalan datanya diletakkan dalam rekod yang terpisah dengan Pangkalan Data Aset Kelengkapan Niaga seperti perkara nombor 2. Fungsinya sama cuma nilainya ditambah bersama bagi memudahkan urusan imbangan duga dan kunci kira-kira. Contoh: Bangunan, Kenderaan dan lain-lain.
  6. Pangkalan Data Liabiliti (Tanggungan) ~ Data ini adalah kunci kepada daya tahan perniagaan khususnya berkaitan modal perniagaan. Data liabiliti atau tanggungan penting untuk direkod bagi memantau komitmen, mengawal aliran tunai dan mengelakkan risiko keberhutangan.